BERINTERAKSI BERSAMA DR.MAZLAN MAT.

LAMAN BLOG INI DIKHASKAN UNTUK INTERAKSI ANTARA ANDA DAN DR.MAZLAN BIN MAT.SEGALA PERSOALAN KESIHATAN ANDA AKAN TERJAWAB........


KAMI ADALAH PAKAR RAWATAN LUKA KRONIK MENGGUNAKAN ULAT.



Friday, March 28, 2008

Bisul/Boil

Bisul/Boil

Hari ini saya merawat seorang pesakit berumur 52 tahun,perempuan,tidak mempunyai penyakit lain ,mengadu mempunyai pembengkakan pada pangkal paha kiri yang sudah berlarutan selama 1 minggu,kesakitan dan juga demam berulang-ulang.

Beliau telah mendapatkan rawatan antibiotic pada hari ke-3 tetapi tidak ada perubahan positif.Setelah diperiksa,beliau didapati mengidap jangkitan “kelenjar” pada pangkal paha kiri dan telah pecah mengeluarkan nanah,kulit sekeliling juga telah dijangkiti kuman dan kemerahan sekarang.Kulit bahagian atas bisul itu juga telah mati dan mula tertanggal.




Apakah itu Bisul/Boil ?

Bisul adalah jangkitan kuman kulit yang telah merebak berbentuk pembengkakan berair/nanah didalamnya .Jangkitan kuman ini biasanya disebabkan oleh bacteria S/Aureus iaitu kuman yang biasa di dapati di kulit.

S/Aureus biasanya akan aktif apabila berlaku penyumbatan kelenjar minyak di liang roma kulit.Tanda tanda awal jangkitan kulit ialah pembentukan ruam kemerahan,kegatalan dan rasa pedih .Ruam yang terbentuk boleh bercantum dan membentuk jangkitan yang lebis luas berserta air didalamnya,pada tahap ini terbentuklah Bisul.

Jangkitan Bisul biasanya tidak serius tetapi memerlukan rawatan antibiotic,jika nanah telah terkumpul maka pembedahan kecil adalah perlu untuk mengeluarkan nanah.Tanpa pembuangan nanah,rawatan antibiotic tidak akan berkesan sepenuhnya.

Bisul yang terjadi pada pesakit Kencing Manis hendaklah dirawat secepat dan sebaik mungkin untuk mengelakkan komplikasi yang boleh mengancam nyawa.

Rawatan:
1-Krim antibiotic-biasanya amat berkesan pada peringkat awal jangkitan.
2-Pil antibiotic.
3-Pembedahan kecil/I&D untuk pembuangan nanah.
4-Dressing-penjagaan luka dengan menggunakan antiseptic.

Dengan rawatan yang betul dan tepat serta penjagaan luka yang baik,Bisul biasanya akan mula menunjukkan tanda penyembuhan dalam tempuh 3 hari,jika tidak ada perubahan positif dalam 3 hari maka rawatan yang telah diberikan hendaklah dikaji semula.

Tanpa rawatan,Bisul biasanya akan pecah mengeluarkan nanah,luka yang terbentuk akan beransur-ansur sembuh secara semulajadi tetapi memakan masa yang panjang serta memberikan kesan kesakitan,lebam dan parut yang kekal.

Oleh itu rawatan awal adalah amat penting……………………..


Untuk sebarang soalan:SMS dengan menaip SIHAT<>Soalan anda<> dan hantar ke 33886.(Tidak melebihi 152 huruf)

Tuesday, March 25, 2008

Kulat kemaluan/Vaginal Candidiasis

Soalan:
Assalamualaikum Dr.Mazlan,saya seorang surirumah berumur 30 tahun,akhir-akhir ini saya mendapati ada cecair pekat keputihan hanyir yang agak banyak keluar dari kemaluan saya , rasa gatal pada sekeliling kemaluan serta timbulnya ruam pada kemaluan,perkara ini kerap berlaku terutamanya sehari selepas hubungan dengan suami,apakah masalah saya ?

Jawapan:

Waalaikum mussalam,

Pada pendapat saya Puan mungkin mengalami jangkitan kulat kemaluan yang juga dikenali sebagai “Candidiasis”,ianya biasa terjadi terutamanya selepas hubungan seks sekiranya puan terus tertidur tanpa mencuci kemaluan,untuk pengetahuan puan, di dalam rongga kemaluan wanita sememangnya ada “kulat” secara semula jadi,air mani suami yang kaya dengan “makanan” akan digunakan oleh kulat ini untuk membiak.

Cecair keputihan yang keluar biasanya mengandungi bersama kulat yang boleh menjangkiti kulit sekeliling kemaluan,tanda awal jangkitan kulit biasanya kegatalan,kemerahan dan juga ruam berair.

Jangkitan kulat biasanya mudah dirawat dengan beberapa cara,jumpalah doktor puan untuk rawatan:

1-Ubat pil-sama ada dimakan sebiji sekali sahaja atau 2 biji sehari untuk 3 hari.Keberkesanan adalah hampir 100%.

2-Ubat Suppositori-digunakan secara memasukkan kedalam kemaluan,sebiji sehari untuk 3-5 hari,juga amat berkesan.

3-Ubat krim-biasanya untuk bahagian luar kemaluan,disapu 2 kali sehari,juga amat berkesan tetapi hendaklah dugunakan untuk 2 minggu.

Sebagai langkah pencegahan,cucilah kemaluan sebelum dan selepas hubungan,30 minit atau 1 jam selepas hubungan bagi mereka yang ingin mengandung.

Jika masalah puan tidak selesai dengan rawatan di atas,puan disarankan untuk menjalani ujian darah bagi memastikan puan tidak mendapat jangkitan tularan seks.

Sekian,terima kasih.

Untuk Sebarang Soalan: SMS dengan menaip SIHAT<> Soalan anda<> dan hantar ke 33886(Tidak melebihi 152 huruf)

Monday, March 24, 2008

Terapi Gantian Hormon(HRT)

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Akhir-akhir ini saya mendapati semakin ramai golongan wanita yang mula berjumpa saya samada untuk mendapatkan penjelasan atau untuk rawatan bagi hal-hal yang berkaitan dengan masalah rumah tangga dan isu-isu sulit wanita.

Mungkin kerana malu atau atas prinsip hal dalam “kelambu” tidak sepatutnya dihebahkan kerana hanya membuka aib maka dulunya ramailah golongan wanita yang menderita tanpa rawatan yang betul ,rumah tangga pula terbiar tunggang-langgang,suami “makan luar” dan isteri “main” kayu tiga dan bermacam-macam lagi hal yang tidak elok didengar.

Kini dengan perubahan masa, maka pemikiran wanita moden kini kelihatan lebih terbuka untuk membicarakan isu-isu yang sememangnya amat penting untuk kesihatan wanita dan keharmonian rumah tangga.

Pernah saya mendapat seorang pesakit wanita berumur 38 tahun,sedang menyusukan anak yang berumur 2 tahun dan berkerjaya,datang untuk mendapatkan rawatan atas desakan suami,beliau mengalami masalah berikut:

1-Badan cepat letih.
2-Kulit kering dan kusam.
3-Hilang berat badan dan bentuk badan tidak lagi menarik.
4-Hilang “nafsu” seks.
5-Payu dara mengecil dan kendur.
6-Sakit kepala dan sukar tidur.
7-Kekeringan Vagina dan Kesakitan semasa seks.
8-Tidak lagi ada kenikmatan dan kepuasan semasa seks.
9-Tidak datang haid untuk 6 bulan.

Dalam kes-kes sebegini biasanya doktor akan cuba mendapatkan penjelasan terperinci secara berasingan daripada suami dan isteri,ini untuk mengelakkan konflik dan untuk menjaga hati masing-masing supaya tidak ada pihak yang “terasa hati” bila kekurangan masing-masing diluahkan.Biasanya pihak doktor akan bertindak secara neutral tanpa memihak kepada mana-mana pihak.

Sebenarnya masalah seperti yang dialami oleh wanita di atas sudah lama berlaku dan ramai wanita berkahwin yang mengalaminya.Pesakit termuda(berkahwin) yang pernah saya rawati ialah berumur 25 tahun,manakala yang masih bujang berumur 17 tahun.

Setelah pemeriksaan ke atas wanita ini,saya mendapati beliau mengalami tanda-tanda “pre-menoupas” yang mungkin disebabkan oleh perkara berikut:

1-Keletihan dan stress akibat kerja.
2-Kekurangan Vitamin .
3-Penyusuan anak.
4-Hubungan seks yang semakin jarang-2 kali sahaja sebulan.
5-Tidak ada kepuasan/ “klimaks” semasa hubungan yang telah lama berlarutan.

Setelah segala permasalahan telah terungkai maka kini bolehlah proses rawatan dilakukan,rawatan biasanya memakan masa panjang dan hasil yang positif biasanya boleh dijangkakan setelah 2 minggu menjalani rawatan jika mendapat kerjasama dari semua pihak.

Antara saranan yang diberikan untuk beliau ialah:

1-Mengambil “supplement” vitamin seperti multivitamin,EPO atau manjakani/kacip fatimah.


Evening Primrose Oil

2-Mengamalkan pemakanan seimbang.
3-Mengurut badan dan Sauna-untuk melancarkan perjalanan darah.
4-Membanyakkan pembacaan terutamanya hal-hal wanita dan hubungan seks.
5-Mengaktifkan semula hal-hal yang dulunya amat “seronok” untuk dilakukan seperti mandi bersama,meraba-raba pasangan dan aktiviti ringan-ringan.
6-Meluangkan lebih masa untuk bersama pasangan.
7-Memperbanyakkan komunikasi antara pasangan .
8-Lebih berfikiran terbuka antara pasangan semasa Seks.
9-Berhenti menyusu badan apabila anak sudah berumur 2 tahun.




Selain itu,antara rawatan yang memang berkesan sekarang ialah terapi gantian hormone atau disebut juga HRT.HRT berfungsi untuk membekalkan semula hormone Oestrogen,pregosteron dan Androgen yang telah berkurangan secara sintetik.







Antara Contoh Pil Hormon




HRT hendaklah diambil setiap hari samada untuk 21 hari atau sebulan tanpa henti bagi mereka yang tidak ingin didatangi kitaran Haid yang biasa.Antara pemeriksaan penting sebelum pengambilan HRT ialah:

1-Pemeriksaan Buah dada.
2-Pemeriksaan Tekanan Darah.
3-Pemeriksaan Pap Smear
4-Pemeriksaan berat badan.

HRT boleh diambil oleh hampir semua wanita yang mengalami masalah ketidak stabilan hormone seks terutamanya yang berumur dalam lingkungan 35 tahun ke atas, kecuali mereka yang mempunyai perkara berikut:

1-Pembengkakan/Benjolan pada buah dada yang belum disahkan bukan Tumor.
2-Darah Tinggi
3-Penyakit Jantung.
4-Kanser/pembengkakan pada peranakan.
5-Mempunyai keluarga yang mengidap kanser buah dada.
6-Pendarahan haid yang bermasalah.
7-Pesakit yang mempunyai risiko pembekuan darah.

Kesan samping HRT biasanya adalah ringan,antaranya ialah:
1-Kenaikan berat badan pada mereka yang kuat makan.
2-Pigmentasi/kloasma .
3-Mual dan loya-loya.
4-Sakit kepala.
5-Kesakitan pada buah dada.

Perlu diingat,HRT bukanlah penyebab Kanser buah dada ataupun kanser pangkal rahim seperti yang sesetengah wanita sangkakan,kebaikan HRT adalah jauh melimpahi keburukan yang mungkin pengamal HRT akan alami.

Secara umumnya,keberkesanan terapi HRT adalah hampir 100%,jadi jika anda tergolong dalam kumpulan yang mengalami masalah seperti di atas,berjumpalah doktor anda,mungkin ini boleh menyelamatkan rumah-tangga anda.

Terima kasih.

SMS dengan menaip SIHAT <>Soalan/komen anda<> dan hantarkan ke 33886 jika anda mempunyai sebarang pertanyaan lanjut atau sebarang komen.

Thursday, March 20, 2008

Chicken Pox

Assalamualaiukum dan selamat pagi,

Selamat Menyambut Maulidurrasul untuk semua yang beragama islam,semalam saya merawat 2 pesakit yang mengidap jangkitan virus iaitu Chicken pox atau dikenali juga sebagai "Bertih" di Kelantan atau "Jingtongan" di Terengganu.

Chicken pox adalah sejenis jangkitan virus yang disebabkan oleh virus "Varisella Zooster",ianya mengambil masa antara 7-14 hari untuk mengeluarkan tanda-tanda jangkitan setelah dijangkiti virus ini.Biasanya ia berjangkit melalui sentuhan dan amat mudah berjangkit.

Chicken pox biasanya tidak merbahaya tetapi boleh juga boleh membawa maut jika pesakit mempunyai immuniti/pertahanan badan yang lemah seperti pengidap HIV,Batuk kering/TB,Kencing manis,kanser atau kanak-kanak /orang tua.

Tanda-tanda jangkitan adalah seperti demam panas diikuti timbulnya ruam merah berair ditengah pada hari ke-3 demam,Ruam boleh naik diseluruh badan termasuk dalam mata dan mulut dan ianya sangat gatal.




Kelihatan Ruam berair dan kemerahan


Pesakit juga akan mengalami sakit-sakit badan serta tanda jangkitan saluran pernafasan seperti batuk,selsema dan sakit tekak.Jika ruam tadi dijangkiti kuman lain ianya akan bernanah dan bila pecah akan meninggalkan kesan kawah seperti "ulcer".

Ruam yang timbul biasanya akan hilang perlahan-lahan dalam tempoh 3-4 minggu dan ianya amat mudah menjangkiti orang lain dalam tempoh ini.Jangkitan wabak boleh berlaku terutamanya jika pesakit pergi ke Tadika,sekolah atau tempat tumpuan ramai dalam tempoh ini.
Rawatan Chicken pox biasanya adalah secara simptomatik iaitu mengikut tanda-tanda yang ada seperti ubat sapu,ubat demam,ubat gatal dan ubat tahan sakit.Jika telah bernanah maka kadang-kadang antibiotik diberikan.Secara umumnya tanpa rawatan moden pun jangkitan Chicken pox boleh sembuh dengan sendiri.

Sebenarnya tempoh jangkitan chicken pox boleh dipendekkan dengan rawatan khas anti-virus iaitu dengan memberikan ubat "Acyclovir",dengan rawatan khas ini pesakit biasanya akan sembuh dalam tempoh 1 minggu berbanding 4 minggu dengan rawatan biasa.Tidak ramai yang mengambil rawatan khas ini kerana faktor kos yang agak mahal iaitu antara RM 150 hingga RM 500 jika menggunakan ubatan import.

Ubat Acyclovir 800mg

Walau bagaimanapun jika kita memikirkan tentang parut Chicken pox yang kekal selepas jangkitan virus ini dan kesan kosmetik yang memalukan untuk jangkamasa panjang,maka ada baiknya ubat Acyclovir digunakan,ianya memendekkan masa jangkitan,mengelakkan parut jangkitan dan mengelakkan jangkitan berleluasa.

Dalam kes kes tertentu,Acyclovir boleh dikatakan penyelamat nyawa jika digunakan pada pesakit chicken pox yang pada masa yang sama mempunyai immuniti badan yang lemah seperti pesakit HIV,kencing manis,kanser dan TB.

Mereka yang telah dijangkiti virus "Chicken pox" biasanya tidak akan dijangkiti semula seumur hidupnya tetapi mereka terdedah kepada jangkitan virus "Kayap" jika immuni badan mereka lemah di kemudian hari.

Untuk semua pembaca,berhati-hatilah ye..........mungkin sekarang adalah musim jangkitan "Chicken pox",selain Jangkitan Acute Tonsilitis dan Denggi.

Tuesday, March 18, 2008

Acute Glomerulonephritis/Nephrotic Syndrome.

Hari ini saya telah merawat seorang pesakit kanak-kanak berumur 2 tahun yang merupakan "regular customer" saya.Beliau telah mendapat jangkitan salur pernafasan atas 2 minggu lepas dan kini beliau telah mendapat tanda-tanda penyakit lain pula.





Acute Tonsilitis.

Beliau mengalami bengkak disekeliling mata,bengkak kedua-dua belah kaki,dan akhir-akhir ini perut dia didapati membuncit serta cirit-birit.Ingatkan mengalami alahan tetapi tanda-tanda ini tidak surut dengan rawatan alahan yang sepatutnya.

Ibu-bapa adik kecil in telah diingatkan supaya membawa adik ini semula untuk rawatan susulan dalam 3 hari jika tidak terdapat perubahan positif dalam masa 3 hari,oleh kerana kesibukan hanya selepas 1 minggu barulah adik ini dibawa berjumpa saya semula.




Bengkak sekeliling mata dan perut yang membuncit.

Setelah periksaan,saya mendapati adik kecil ini kemungkinan besar mengalami penyakit "Acute Glomerulonephritis /AGN "atau "Nephrotic Syndrome".




Bengkak kedua-dua kaki.
AGN/Nephrotic Syndrome merupakan satu daripada komplikasi "Acute Tonsilitis",ia merupakan penyakit buah pinggang yang diakibatkan oleh tindak balas antibodi "Acute Tonsilitis" keatas buah pinggang.

Penyakit ini boleh mengakibatkan kerosakan buah pinggang samada acute(berbalik) atau kronik(Kerosakan kekal),bila buah pinggang sakit maka perkumuhan air kencing akan terganggu dan air berlebihan akan terkumpul pada kaki,sekeliling mata ,perut dan kadang-kadang dalam paru-paru dan menyebabkan sesak nafas.

Dalam kes sebegini biasanya pesakit memerlukan rujukan ke hospital,perlu dimasukkan ke wad untuk menjalani pemeriksaan darah,air kencing dan juga x-ray.Rawatan biasanya sangat berkesan dan terdiri dari suntikan antibiotik yang kuat ,ubat steroid/antiradang dan sebagainya.

Biasanya pesakit akan sembuh tetapi boleh terdedah kepada risiko komplikasi lanjut seperti Darah tinggi,jangkitan kuman atau kerosakan kekal buah pinggang.Untuk mengelak atau melambatkan semua komplikasi yang mungkin biasanya pesakit akan diberi ubat antiradang bagi jangkamasa yang panjang dan akan diberi rawatan susulan berterusan untuk satu tempoh yang panjang.

Sebagai peringatan,jika anak kita mengalami batuk/demam/selsema atau kudis yang telah berlarutan,haruslah cepat berjumpa doktor untuk rawatan lanjut,mungkin anak kita perlukan antibiotik untuk menyembuhkannya.Bertindaklah secepat mungkin sebelum terlambat.

Terima kasih.

Adik di atas telah dimasukkan ke Hospital Selayang pada 23/03/2008,sebenarnya ibubapa adik ini tidak dapat menerima hakikat bahawa anak mereka perlu ke hospital,tetapi setelah nenek adik ini masuk campur maka adik ini telah dibawa ke hospital ,agak terlambat tetapi biarlah,sekurang-kurangnya adik ni kini telah diberi rawatan sewajarnya,beliau disahkan mengidap Acute Nephrotic Syndrome.

Semoga cepat sembuh....................

Friday, March 14, 2008

Cirit-Birit pada Bayi

Assalamualaikum dan selamat petang utk semua.............

Hari ini saya mendapat seorang pesakit kecil,bayi perempuan warga Nigeria berumur 6 bulan bernama Melisa.Kata ibunya beliau baru memberikan "bijirin" berperisa baru kepada Melisa semalam dan hari ini Melisa mengalami cirit-birit sebanyak 3 kali , kembung perut dan sedikit demam.

Pemeriksaan mendapati Melisa demam sedikit ,kembung perut dan mempunyai tanda-tanda keracunan makanan .

Rawatan:
Dalam kes begini rawatan adalah seperti rawatan cirit-birit yang lain juga iaitu,ubat cirit-birit,ubat sakit perut,ubat kembung,ubat demam jika perlu dan kadang-kadang air garam.
Biasanya jika cirit-birit biasa,ianya akan sembuh dengan rawatan di atas.

Perkara lain yang perlu dilakukan:

1-Cairkan susu .
Perlu diingat semasa cirit-birit penyerapan dan pencernaan susu akan terganggu dan susu yang tidak hadam akan menjadi masam didalam usus dan seterusnya memburukkan lagi cirit-birit.

2-Hentikan susu sementara.
Melalui pengalaman saya,inilah langkah terbaik bila anak kita mengalami cirit-birit.Ini bukan bermakna kita langsung tidak memberikan susu,cuba dapatkan susu khas untuk cirit-birit.Biasanya susu ini lebih kasar bijinya dan tertulis "Milk for Diarrhoes",antara jenama yang ada termasuklah "Novalac" yang hanya boleh didapati di farmasi atau klinik.

Kadang -kadang dengan susu khas ini sahajapun boleh merawat masalah cirit-birit yang tidak serius tanpa perlukan ubatan.Bila masalah cirit-birit dah sembuh maka bolehlah kita memberi semula susu yang biasa anak kita minum.

3-Lebihkan memberi minuman.
Jika berlaku cirit-birit maka anak akan kehilangan banyak air serta tenaga dan ini perlu diganti semula.Jadi berilah mereka minum lebih cairan,ada yang bagi air glukos/gula,air garam ORS,air Ribena dan macam-macam lagi.

Masalah cirit-birit akan lebih rumit bila disertakan dengan muntah-muntah,keadaan begini biasanya terpaksa dirawat dan dijaga dengan lebih teliti,muntah hendaklah dihentikan secepat mungkin,ubat muntah "Suppositori" yang biasa dimasukkan melalui lubang dubur amat membantu dalam situasi ini.

Jika masalah cirit-birit berlarutan berserta tanda-tanda berikut,adalah lebih baik jika anak kita dirujuk ke hospital untuk rawatan lebih baik:

1-Demam tinggi.
2-Muntah berterusan
3-Tanda-tanda kekurangan air: mata cengkung,demam,dengupan jantung kencang,letih dan kulit kering.
4-Najis bercampur darah.
5-Sawan.

Mengikut kajian,jika anak kita menyusu botol ,majoriti punca cirit-birit ialah susu formula yang terlalu pekat,tidak sesuai,susu terlebih masa > 4 jam atau dari botol susu yang tidak bersih.

Jadi berhati-hatilah,berilah susu dada /badan,inilah yang terbaik untuk bayi................

Thursday, March 13, 2008

Penyakit Kelamin(STD)

Assalamualaikum,

Hari ini juga saya mendapat seorang pesakit,lelaki dewasa ,telah berkahwin yang mengadu yang air kencing beliau bercampur nanah dan kemaluan beliau terasa pijar/panas.Beliau mengakui ada melakukan hubungan seks dengan seorang kawan perempuan 2 hari lepas tanpa memakai kondom.

Katanya ,kemaluan wanita itu "bersih" tanpa bau atau lelehan yang mencurigakan.Beliau juga tidak memakai kondom.Pemeriksaan menunjukkan bahawa beliau telah mengidap jangkitan salur kencing kemungkinan besar jangkitan penyakit kelamin atau juga dikenali sebagai STD(Sexual Transmitted Diseases).STD yang paling biasa saya rawat ialah Sifilis dan Herpes(Kayap kemaluan atau Kayap mulut).

Biasanya STD seperti dialami lelaki di atas boleh sembuh dengan rawatan tetapi ada juga yang berulang-ulang.Beliau telah diberikan suntikan antibiotik dan antibiotik oral selama 2 minggu.

Perlu dingat,walaupun kemaluan wanita itu "bersih"tetapi kemungkinan jangkitan masih tetap ada,wanita itu dikategorikan sebagai "pembawa" kuman STD.Mungkin dulu wanita itu pernah mengidap STD tetapi tidak dirawat dan sembuh dengan sendiri tetapi membawa "kuman" dalam badannya terutamanya dalam cecair badan seperti darah dan lelehan kemaluan.

Dalam hal ini,kedua-dua pihak terlibat hendaklah mendapatkan rawatan dan jika berkemampuan lakukan ujian darah.Isteri lelaki itu juga patut melakukan ujian darah dan jika ianya positif maka perlu juga dirawat.

Antara tanda-tanda biasa jangkitan STD ialah:
1-Demam berulang dan lama .
2-Sakit sewaktu kencing-seperti dihiris pisau.
3-Air kencing bernanah(Pyeuria)
4-Bengkak kemaluan dan kemerahan bagi lelaki.
5-Lelehan berbau,pekat,hijau atau kekuningan bagi wanita.
6-Timbulnya ruam pada kawasan kemaluan.
7-"Ulcer" atau luka-luka yang amat menyakitkan pada kemaluan.

Jika anda mempunyai tanda-tanda di atas,dapatkanlah rawatan sebelum terlambat dari doktor anda.Semuanya boleh sembuh dengan rawatan kecuali Hepatitis B & C dan HIV.

Sebagai langkah pencegahan,seeloknya setialah pada yang satu dan selalulah memakai kondom jika berhubungan seks dengan perempuan "luar".

STD jika dibiarkan boleh mendatangkan komplikasi jantung,keguguran janin,kecacatan janin dan sebagainya..............................

Kes-kes jangkitan STD sebenarnya adalah lumrah dan sudah "biasa" dirawat ,inilah jadinya bila nafsu menguasai akal.Kes-kes STD yang serius biasanya dirujuk ke Pusat STD di Jalan Pahang,dulunya Institut Respiratori.

Utk pertanyaan,taip SIHAT <>soalan anda<> dan SMS ke 33886.

Sengatan Serangga



Assalamualaikum,

Hari in seorang kanak-kanak lelaki berumur 12 thn telah berjumpa saya untuk rawatan,beliau telah disengat di bahagian pipi kanan oleh serangga kemungkinan besar lebah/tebuan ataupun penyengat 3 hari lepas.

Selepas sengatan ,pipi beliau membengkak tapi tidak sakit hinggalah malam tadi hinggalah mengganggu tidur beliau.

Pemeriksaan mendapati tempat sengatan telah dijangkiti kuman dan sekeliling kawasan sengatan telah mengalami alahan setempat.




Untuk info,sengatan biasanya tidak merbahaya kecuali jika seseorang itu ada masalah berkaitan immunologi seperti alahan(Eczema,Urticaria) atau penyakit lelah(Asma).Kadang kadang pengidap Asma boleh sesak nafas dan seterusnya koma jika sebarang sengatan tidak dirawat secepat mungkin.

Jika anda pengidap Asma atau alahan dan terkena sengatan atau gigitan walaupun semut sekalipun,berjumpalah doktor anda untuk kepastian dan rawatan.Biasanya doktor akan memberikan ubat sapu,ubat alahan,ubat gatal dan kadang-kadang antibiotik.

Majoriti kes biasanya sembuh tanpa rawatan tetapi lebih lambat berbanding 3 hari jika diberi rawatan betul.

Hati-hatilah ....................

Wednesday, March 12, 2008

Kegagalan Jantung(Heart Failure)

Malam Semalam saya mendapat berita bahawa bapa mertua saya di kampung terpaksa dimasukkan ke hospital kemungkinan kerana kekurangan gula dalam darah(Hypoglycaemia) dan juga kegagalan jantung(Heart Failure).

Bapa mertua saya berumur dalam 60 an dan sememangnya beliau tahu yang beliau mengidap Penyakit injap jantung yang sempit.Beliau pernah dirujuk ke IJN tetapi beliau lari ke kampung sehari dari tarikh beliau dijadualkan untuk dimasukkan ke wad bagi penilaian untuk pembedahan.Beliau sebenarnya takut dan ngeri bila disebut tentang "bedah" ni.

5 tahun telah berlalu dan kini komplikasi jantung datang menimpa dan beliau sememangnya tahu akan hal itu.Lambat laun ia akan datang juga ....................

Beliau tiada selera makan ,tidak nyeyak tidur,sesak nafas,batuk-batuk dan akhirnya pagi semalam(11/03/2008) beliau pengsan dalam bilik air.

Di hospital ,pemeriksaan mendapati beliau kekurangan gula dalam darah dan paru-paru beliau telah dipenuhi air.Di hospital daerah apa lah sangat yang boleh dilakukan dan beliau kemungkinan besar terpaksa dirujuk ke hospital besar untuk rawatan seterusnya.

Kemungkinan besar paru-paru beliau terpaksa ditebuk untuk menyalur air keluar dan memastikan peparu beliau berkembang semula.

Semoga beliau panjang umur..................

Untuk pengetahuan semua,penyakit injap biasanya disebabkan oleh komplikasi Jangkitan salur pernafasan ataupun kudis,ianya dikenali sebagai "Rheumatic Heart Disease".

Injap yang dijangkiti akan rosak,lumpuh dan akhirnya sempit menghalang aliran darah dari jantung.Lama-kelamaan jantung akan bengkak dan menjadi lemah.

Tiada rawatan yang menjamin yang injap yang rosak akan sembuh kecuali dengan pembedahan penukaran injap.Inipun terpaksa dilakukan berulang kali setiap 10 tahun jika ianya berjaya ataupun terpaksa bergantung pada ubatan Warfarin untuk mengelakkan pembekuan darah.

Lemah jantung akan seterusnya menyebabkan paru-paru lembab dan lemah menghalang pernafasan.Lemah jantung dan Paru-paru lembab biasanya ditandai dengan kaki sembab,perut membuncit,kurang kencing,batuk-batuk diwaktu sejuk/malam,lemah dan cepat kepenatan serta pucat.

Segeralah berjumpa doktor sekiranya anda mempunyai salah satu dari tanda-tanda di atas.Kalau diikutkan dari segi teori,bila kegagalan jantung telah berlaku maka tidak banyak perkara lagi yang dapat doktor lakukan.............pembedahan pemindahan jantung mungkin jalan terakhir.

Kalau tidak,hanya menanti hari.........................semoga cepat sembuh untuk ayah tersayang.

Komplikasi Kencing Manis

Pagi ini seorang pesakit ,lelaki 52 thn datang berjumpa saya untuk rawatan.Beliau mengidap kencing manis semenjak 4 bulan yang lalu,dalam rawatan tetapi kawalan kandungan gula dalam darahnya adalah tidak begitu baik.

2 hari lepas jari telunjuk beliau tercucuk kayu dan semenjak itu jari itu membengkak ,sakit hingga tidak boleh tidur dan hari ini telah mengeluarkan nanah bila dicucuk.

Setelah diperiksa ,kandungan gula darah beliau ialah 14mmol/l dan jari telunjuk beliau telah dijangkiti kuman pada tahap awal.Beliau dikira bernasib baik kerana datang awal untuk rawatan,perlu diingat jari beliau boleh terpaksa dipotong jika dibiarkan tanpa rawatan sempurna.

Saya mencucuk jari beliau yang bengkak untuk membuang nanah,Alhamdullilah hanya baru sedikit nanah yang terbentuk.Beliau diberi rawatan antibiotik dan ubat kencing manis beliau terpaksa saya tambah untuk memastikan gula dalam darah beliau terkawal.

InsyaAllah dalam 5 hari lagi beliau akan datang semula untuk rawatan susulan untuk memastikan antibiotik yang diberikan memberikan kesan positif.




Antara Komplikasi Kencing manis pada peringkat awal.


Komplikasi yang sudah kronik dan telah sembuh.

Harap-harap beliau cepat sembuh,kalau tidak terpaksalah saya rujuk beliau ke hospital untuk rawatan lanjut.............................

Tuesday, March 11, 2008

PENYAKIT YANG BIASA DIRAWAT SETIAP HARI & TANDA-TANDA UMUM



Hampir setiap hari pesakit yang dirawati di klinik saya adalah penyakit yang dikategorikan sebagai "ringan" ,antaranya ialah:

1-Jangkitan salur pernafasan atas.
Termasuklah jangkitan tekak ,peti suara dan hidung.Biasanya mempunyai simptom(tanda) seperti demam panas,batuk,selsema dan sakit tekak.Penyakit yang paling biasa dirawat ialah Acute Tonsilitis atau pembengkakan kelenjar Tonsil di tekak.

Majoriti jangkitan ini adalahdisebabkan oleh virus dan biasanya sembuh dalam tempoh 2-3 hari tanpa antibiotik.Berjumpalah doktor sekiranya simptom melebihi 3 hari.

Gambar A: Acute Tonsilitis Gambar B;Ruang tekak yang normal.

Acute Tonsilitis jika dibiarkan boleh menyebabkan komplikasi serius terutamanya pada kanak-kanak.Ianya boleh menjangkiti jantung ,sendi dan buah pinggang.

2-Jangkitan virus
Ini termasuklah demam campak dan demam virus lain seakan-akan demam Denggi.Biasanya juga mengalami demam tinggi berserta sakit kepala dan sakit badan/sendi.Jarang mempunyai tanda-tanda seperti tanda jangkitan salur pernafasan atas.

Biasanya jangkitan virus adalah tidak serius.

3-Penyakit kulit.
Ini termasuklah kudis biasa,kudis buta(Scabies),panau,kurap ,kulat air dan alahan kulit.Majoritinya berpunya dari penjagaan kesihatan kulit yang tidak sempurna/baik.

Senang dirawat,cepat sembuh tetapi cepat berulang jika kebersihan kulit diabaikan.Kanak-kanak dan remaja adalah golongan yang paling berisiko,jadi bantuan ibu-bapa adalah sangat diperlukan.

4-Sakit Kepala .
Biasanya dialami oleh golongan dewasa disebabkan oleh berbagai faktor,antaranya tekanan kerja,tidak cukup rehat,masalah sembelit dan sebagainya.

Majoriti pesakit akan menyatakan bahawa mereka mengidap Migrain tetapi perlu diingat Migrain hanya satu anggapan dan hanya betul bila segala pemeriksaan yang dilakukan adalah normal.

Punca yang paling biasa saya dapati setelah melakukan pemeriksaan ialah resdung(kadang-kadang org panggil Sinusitis),perut kembung,sembelit dan gastrik.

Perlu diingat,rawatan untuk sakit kepala hendaklah berpandukan kepada puncanya,jika silap sakait kepala akan bertambah,contohnya jika puncanya ialah Gastrik,ubat sakit kepala(pain killer) akan memburukkan keadaan.

5-Sakit perut
Ini termasuklah keracunan makanan,angin-kembung,kencing kotor,batu karang dan senggugut bagi wanita.Senang dirawat tetapi boleh berulang-ulang.

Penyakit yang boleh dikategorikan sebagai serius yang biasanya memerlukan rawatan dengan kos yang mahal termasuklah Asma,Darang tinggi,kencing manis,Jangkitan paru-paru,luka kencing manis ,angin ahmar dan macam-macam lagi.

DEMAM PILIHANRAYA.

Proses pilihanraya umum ke-12 telah pun berlalu meninggalkan bermacam kenangan pada saya dalam merawat pesakit-pesakit di klinik .

1-Proses kempen
Dalam tempoh berkempen majoriti pesakit adalah terdiri dari mereka yang mengidap jangkitan pernafasan samada pernafasan atas(Sinusitis,Rhinitis atau URTI) atau pernafasan bawah(Bronchopneumonia-jangkitan kuman paru-paru).

Biasanya mereka terdedah kepada kekurangan pengambilan air minuman atau yang terdedah kepada kesejukan malam/pagi hari.

2-Hari mengundi
Ditakdirkan cuaca di hari mengundi adalah baik secara umumnya,panas di waktu pagi tetapi hujan di waktu petang,ramailah yang terkena hujan mengejut ini dan megalami sakit kepala dan demam panas.Lebih teruk lagi ,3 kematian dicatatkan diseluruh negara kerana masalah pernafasan,kemungkinan besar di sebabkan serangan jantung.

3-Selepas hari mengundi
Bermula dari malam minggu ,ramailah yang berjaga malam untuk mendapatkan keputusan terkini PRU12 hinggalah ada yang demam demam sebab tidak cukup rehat.Bila keputusan diumumkan maka lebih ramailah yang sakit akibat terkejut...............

Dari semalam 10.03.2008 hingga hari ini ramai pulak yang mengambil M.C kerana masih kepenatan samada baru kembali dari kampung atau masih terasa penat bertungkus lumus pada PRU12 yang lalu.


Apapun bagi saya sebagai doktor,hanya rawatan dan nasihat terbaik dapat saya berikan tanpa mengira samada mereka dari kerajaan ataupun pembangkang.